Susahnya nak pujuk D untuk pergi tadika setiap hari. Kelihatannya seperti gelisah, risau dan acapkali memujuk saya untuk tidak menghantarnya ke sekolah. Katanya, dia tak pandai belajar. Mungkin rasa malu dan tertekan bila disuruh belajar.
Sejak dari awal pendaftaran, memang saya dah tetapkan tidak perlu memaksa jika ada hari yang D tidak bersedia ke sekolah. Niat saya hanya mendedahkan persekitaran dan menjalinkan persahabatan dengan rakan sebaya dan cikgu.
Tiada masalah dengan tadika dan cikgu di sana. Pelajar ramai, cikgu sikit, mana mungkin mereka dapat fokus kepada anak saya setiap hari. Fitrah setiap anak kecil pula memerlukan hubungan one-on-one for bonding to feel safe and secure.
Tidak selesa. Saya memahami perasaan itu. Semasa di bangku sekolah, saya bangun awal pagi untuk mandi dan bersiap untuk menaiki van ke sekolah. Itu adalah rutin yang paling saya benci. Hampir setiap pagi juga saya akan sakit kepala dan ayah atau mama terpaksa picit kepala saya sebelum bergerak ke sekolah.
Bukan tak suka bangun pagi, cuma tak suka bangun pagi untuk ke sekolah. Mungkin homeschool lebih sesuai untuk saya tapi tiada pilihan tersebut pada masa itu.
Adakah saya sanggup membiarkan keadaan yang sama berlaku kepada anak sendiri? Anak saya boleh dan suka belajar. Saya pula mempunyai pengetahuan yang mencukupi untuk mengajarnya. Adakah pendidikan itu hanya berlaku di sekolah?
Ianya bukan tentang anak itu terlalu manja. Hidup ini bukan untuk kita mengikut sahaja apa yang ditetapkan oleh sistem pentadbiran walaupun timbul rasa ketidakselesaan dalam diri. Perit rasa itu. Saya suka belajar, tetapi bukanlah dengan pergi ke sekolah. Ada tempat dan waktu yang sesuai dengan diri saya.
Begitu juga dengan D. Saya memahaminya. Saya akan menongkah arus. Sebagai seorang ibu, saya akan memberi pendidikan formal kepadanya, mengajarnya adab dan akhlak serta beberapa kemahiran hidup yang berguna.
Mungkin juga saya akan hire skilled person to teach certain skills. Biarlah dia belajar dengan perasaan yang tenang dan teruja, jangan dibunuh rasa itu dek rasa tak selesa berada di sekolah.
4-5 jam sehari sahaja yang saya hantar D ke tadika. Selebihnya pembelajaran akan berlaku di rumah, di tempat yang D rasa selesa. Semoga Allah permudahkan. Aamiin~
