Menuju Ramadhan

Dah masuk Rejab, bermakna kurang daripada 60 hari menuju ke bulan Ramadhan. Semoga Allah memberi peluang saya untuk menjalani ibadah di bulan Ramadhan ini. Amin.

Saya ambil masa-masa ini untuk membuat persiapan untuk menyambut kedatangan Ramadhan, buat sehabis baik dan meraikan kemenangan di bulan Syawal.

Agak bercita-cita tinggi tapi tak keterlaluan jika saya pasang impian untuk bertemu Lailatul Qadar. Entah la macam mana rasanya, tetapi ingin saya ketemunya kerana keinginan saya untuk merasai kasih sayang Allah adalah seperti anak kecil yang mendambakan ibunya sentiasa.

Saya senang terganggu, jadi saya harus bermula seawal mungkin untuk membuat persiapan. Ini antara langkah-langkah yang saya rangka sebagai persediaan:

1 – Membaca buku tentang Ramadhan. Saya dah pun membeli e-book Transformasi Ramadan 2.0 tulisan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil tahun lepas tetapi tahun ini saya membacanya semula untuk betul-betul memahaminya.

2 – Puasa sunat atau ganti. Ini yang paling berat saya nak buat. Esok saya akan mulakan puasa Isnin dan Khamis. Bulan seterusnya saya akan buat Puasa Nabi Daud iaitu puasa selang sehari. Sejujurnya saya dah tak ingat berapa hari saya tinggal puasa, tapi saya akan ambil langkah ini untuk melangsaikan hutang ganti puasa. Kemudian baru saya bayar Fidyah.

3 – Al-Quran. Dalam post yang lepas, saya telah nyatakan untuk bersahabat dengan Al-Quran. Saya takut membayangkan sekujur mayat di dalam kubur seorang diri. Banyak dosa saya yang lepas-lepas tapi saya masih ada masa untuk bersahabat dengan Quran di samping amalan-amalan lain. Semoga kitab ini menemani dan memberi cahaya di dalam kubur saya nanti.

4 – Menjaga hati dan tutur kata. Banyakkan berzikir dan mengucap perkataan yang baik-baik. Telah pun saya praktiskan. Saya lebih suka berdiam jika tiada perkara baik untuk diucapkan atau sedang dalam keadaan marah. Biarlah orang kata saya berat mulut, sememangnya saya tak berminat hendak tahu perkara yang tidak penting tentang diri dan kehidupan mereka. Cuma semasa memandu je saya kena banyak bersabar. Tahu sahajalah jalan raya di Kuala Lumpur ini.

5 – Solat. Masih banyak yang perlu diperbaiki. Saya ingin mendalami makna setiap doa dalam solat dan jika ada kesempatan, saya ingin mendapatkan seorang ustazah untuk memeriksa solat dan bacaan saya.

Semoga dipermudahkan.

Laman Nadia

Ini adalah blog peribadi, curahan hati dan tumpahan refleksi dalam menjalani kehidupan seharian. Semoga mendapat sesuatu bermanfaat hendaknya.

insha-Allah.

Jan 2023
M T W T F S S
 1
2345678
9101112131415
16171819202122
23242526272829
3031